
Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk sesi persekolahan 2021 telahpun bermula. Pelbagai perkongsian dapat kita lihat di media sosial berkenaan dengan isu kualiti sambungan internet, kos data internet, peranti yang perlu dikongsi bersama ahli keluarga dan pelbagai lagi.
Tulisan kali ini berkisar berkenaan peranti iaitu laptop dan komputer desktop. Saya yakin ramai juga diluar sana yang mempunyai peranti tersebut yang terbiar mengumpul habuk dan menangisi nasib diri seperti karangan "aku sebatang pensil" yang biasa kita tulis atau baca zaman sekolah dahulu.
Mengapa terbiar?
Mungkin, ada yang diluar sana seperti saya. Saya mempunyai laptop sendiri yang dibeli pada tahun 2011 (Bukan gambar di atas) dan juga laptop milik tempat bekerja. Laptop sendiri sudah tidak cukup sifat. Setakat ini masih boleh bersenang hati namun jika berhenti kerja untuk kerja sendiri atau diberhentikan, waktu itu terpaksalah keluar modal. Jikalau mampu, boleh beli laptop yang baru. Jika tidak, baiki dan guna sahaja apa yang ada pada laptop yang lama dengan hati yang tabah.
Bagaimana anda boleh menghidupkan dan memanfaatkan semula laptop dan komputer desktop lama?
Bertukar kepada linux
Jika perkataan 'linux' asing bagi anda, Ia sebenarnya tidak terlalu asing walaupun terdapat perbezaan cara penggunaan. Telefon pintar android yang anda gunakan itu menggunakan kernel linux. Sama seperti Window yang anda kenal sejak sekian lama, Linux juga merupakan sistem operasi (OS) bagi komputer.
Linux mempunyai banyak distro dan banyak juga yang sesuai untuk peranti dengan RAM dan CPU yang rendah contohnya lubuntu. Anda boleh melakukan carian menggunakan katakunci 'ligtweight linux distro'. (Contoh : https://www.techradar.com/sg/news/best-lightweight-linux-distro) Sedihnya, banyak distro terkini tidak lagi menyokong peranti 32bit. Jika peranti anda adalah peranti 32bit, boleh cuba cari distro dengan versi sebelumnya yang masih ada sokongan kemaskini perisian dan sekuriti.
Sama seperti ChromeOS pada Chromebook, Linux sesuai untuk memenuhi keperluan mereka yang mengunakan perkhidmatan dalam talian. Anda juga tidak perlu risau dengan perisian luar talian. Dahulu, saya hadapi masalah format fail dokumen kerana menggunakan OpenOffice (nama sekarang LibreOffice) sedangkan rakan-rakan sekerja menggunakan Microsoft Office pada Window mereka. Tapi kini, rakan-rakan yang guna Window dan saya yang guna Linux sama-sama menggunakan perisian WPS Office.
Anda juga boleh mencari senarai perisian alternatif dan percuma kepada perisian-perisan yang biasa anda gunakan pada Window. Contohnya GIMP, alternatif bagi Adobe Photoshop.
Mengatasi kerosakan dengan belanja yang minima
Saya berjaya mengelakkan isteri saya dari mengeluarkan belanja untuk laptop baru. Laptopnya selalu terpadam semasa sedang digunakan dan hardisk juga telah memberi amaran kerosakan. Memandangkan kerja yang dibuat adalah kerja pengurusan, maka saya yakin tidak menjadi masalah untuk ruang simpanan yang terhad dan juga sistem operasi linux walaupun dia bukan orang IT. Kalau tak mampu nak beri sokongan kewangan, kita sokong dengan kemahiran yang ada. Hehe
Jika anda ingin mengganti harddisk dengan belanja yang murah, boleh cari harddisk jenis HDD pada platform jualan atas talian. HDD murah tapi jika ada anak yang lasak, risau mudah rosak disebabkan gegaran.
Cara lain, gunakan sahaja USB pendrive dengan Live Linux Distro (https://www.pendrivelinux.com/yumi-multiboot-usb-creator/). Terdapat Live Linux Distro yang menyokong persistence size lalu membolehkan perubahan yang anda buat disimpan. Anda boleh juga pasang terus OS Linux atas pendrive. Pendrive dengan saiz 16G pun sudah memadai.
Perbelanjaan penggantian skrin untuk laptop saya pula dapat saya elakkan dengan mencabut sambungan kabel skrin laptop pada motherboard (Boleh tanggalkan terus skrin) . Ini membolehkan laptop mengesan dan menggunakan monitor lain yang disambungkan padanya. Saya menggunakan TV sebagai monitor.
Terdapat kerosakan yang ada cara penyelesaian alternatif seperti pengalaman yang saya ceritakan disini. Namun, jika anda tetap perlu mengeluarkan kos, cuba lihat pada platfom jualan atas talian. Banyak perkakasan untuk laptop dan komputer desktop yang lama kini boleh diperolehi dengan harga yang murah.
Rujukan tambahan
https://en.wikipedia.org/wiki/Live_CD
Nice sharing. At times like this, this is so useful. Thank you
You're welcome 🙂