
Pudina boleh menjadi pilihan kepada mereka yang baru ingin berjinak-jinak untuk bercucuk tanam ataupun telah mencuba namun tidak menjadi. Selain sebagai hiasan, ianya juga berguna kerana aroma dan khasiatnya. Ada yang memasukkan ke dalam teh dan ada yang menggunakannya di dalam masakan. Kita juga tahu banyak produk yang menggandungi ekstrak pudina seperti ubat gigi, gula-gula getah dan banyak lagi.
Hobi bercucuk tanam ini mudah bagi kita yang minat. Namun, ada rakan-rakan saya yang tidak tahu bagaimana hendak bermula. Ada juga yang menganggap tangan mereka panas, tanam pokok apapun mesti mati. Bagi saya, kita yang tidak tahu menguruskan sesuatu tanaman itu mengikut cara yang sepatutnya. Saya sendiri dalam cubaan membiak dan menjaga tanaman ada yang subur, ada juga yang tak tumbuh-tumbuh ( contohnya sawi kalau tanam dari biji benih. huhu) dan ada juga yang tak hidup lama atau tak berjaya berbuah.
Kembali kepada pudina. Ianya boleh dibiakkan dari keratan batang. Jika ada kenalan yang mempunyai pokok pudina, jangan malu segan untuk meminta sedikit keratan. Ianya juga boleh dibeli dari kedai runcit namun peratusan kegagalan mungkin tinggi kerana dibiarkan lama dan tujuan jualan pun untuk masakan bukannya dibiakkan. Jika sanggup keluar duit lebih, beli sahaja sepasu kecil pudina yang harganya kurang dari RM20.
Saya mula cuba menanam pudina dengan menggunakan keratan pudina dari kedai runcit dan ianya gagal. Seterusnya, saya membeli sepasu kecil pudina dan menyebarkannya ke bekas tanaman yang lain menggunakan keratan. Pembiakan menggunakan keratan memerlukan kita untuk menyingkirkan dan membiarkan sedikit sahaja daun yang tersisa. Ini untuk menggurangkan tekanan kepada tumbuhan, mengelakkan kehilangan air dan membolehkan tumbuhan memberi tumpuan untuk pertumbuhan akar.
Pudina adalah tumbuhan yang sukakan air. Sesuai untuk mereka yang tiada masa untuk menyiram tanpa risau pokok rosak kerana reput akar.
Saya dapat lihat perbezaan pada pasu asal yang saya beli dan pudina di dalam bekas hidroponik. Pudina di dalam bekas hidroponik lebih subur.
Sedikit nasihat kesihatan, pastikan apa juga tanaman yang anda tanam walaupun anda diwar-warkan akan khasiatnya, selidik juga bahayanya samaada disebabkan alahan, usia, jantina ataupun masalah kesihatan.
Selamat bercucuk tanam 🙂